#PRKBukitGelugor DAP Meneruskan Legasi Politik Kronisme dan Nepotisme #MalaysiaNews

 

Keputusan DAP meletakkan Ramkarpal Singh sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor disifatkan hanya semata-mata untuk mendapatkan undi simpati dan bukannya bertujuan memperjuangkan nasib serta kebajikan penduduk kawasan itu.

Keputusan itu malah menggambarkan DAP masih meneruskan legasi politik dengan mengamalkan kronisme dan nepotisme apabila mencalonkan anak beranak dan saudara untuk bertanding pada pilihan raya.

Naib Pengerusi DAP Cawangan Ladang Paroi, A. David Dass mendakwa, Ramkarpal bukan seorang ahli politik yang mengambil berat rakyat di sekelilingnya sehingga melayakkan beliau menjadi calon sebaliknya hanya diletakkan di situ untuk memastikan kerusi itu menjadi milik DAP.

“Ramkarpal hanyalah seorang peguam dan bukan ahli politik atau aktivis yang memperjuangkan kebajikan rakyat. Beliau diletakkan sebagai calon kerana DAP hanya mementingkan nepostime. Legasi keluarga lebih penting walhal ramai lagi calon dalam parti itu khususnya akar umbi yang telah lama berjuang. Beliau tiada sumbangan dalam dunia politik kecuali mengendalikan kes berprofil tinggi.

“Kali ini DAP hanya perlu menggunakan sentimen Karpal yang telah meninggal dunia secara tragis dalam kemalangan untuk menarik undi rakyat, hakikatnya kebajikan rakyat terutamanya yang miskin dan pertengahan masih lagi tidak terbela di Bukit Gelugor. Masyarakat Melayu dan India masih lagi susah," katanya di sini hari ini.

PRK Parlimen Bukit Gelugor diadakan berikutan kematian Karpal dalam kemalangan jalan raya di Perak pada 17 April lalu.

PRK itu yang akan diadakan pada 25 Mei ini menyaksikan persaingan empat penjuru antara calon DAP, Parti Cinta Malaysia (PCM) dan dua calon Bebas.

PCM mencalonkan Naib Presi­dennya, Datuk Huan Cheng Guan manakala dua calon Bebas adalah Mohamed Nabi Bux Mohd. Abd. Sathar yang merupakan ahli Pas Cawangan Gombak, Selangor dan Abu Backer Sidek Mohamad Zan.

Menurut David, nepotisme harus dihapuskan kerana cara tersebut bukan prinsip yang seharusnya diamalkan oleh parti tersebut.

“Saya mahu amalan nepotisme ini dihapuskan dalam parti kerana ini bukan parti keluarga tetapi parti rakyat, Saya berharap pengundi Bukit Gelugor tidak akan terus tertipu dengan sentimen sebegini," tegasnya.

Sementara itu, bekas ahli DAP Bayan Baru, Rahmad Isahak berkata, andainya Ramkarpal menang, kejayaan itu hanya disebabkan oleh rasa simpati pengundi berhubung kematian bapanya yang merupakan penyandang dan bekas Pengerusi DAP.

Menurutnya, walaupun DAP sedia maklum dengan rekod politik Ramkarpal namun strategi itu hanya bertujuan untuk memastikan parti itu terus menjadi hak milik keluarga dan sendirian berhad.

“Ramkarpal tidak akan sesekali boleh menandingi kehebatan bapanya, beliau tidak pernah menjadi ahli politik. Tetapi DAP terus berdegil meletakkan beliau kerana mahu legasi keluarga diteruskan tanpa mementingkan kepentingan rakyat.

“DAP perlu berhenti memperdayakan umum seperti ini, jangan bermain-main dengan mandat rakyat," ujarnya.

Bekas Ketua Cawangan DAP Taman Seri Sungai Pelek, Tan Tuan Tat pula berkata, Karpal merupakan tulang belakang parti itu dan ketiadaan beliau secara tidak langsung bakal memberi kesan terhadap hala tuju DAP.

“Mendiang merupakan pemimpin dan ahli politik yang hebat malah sumbangan dan usaha beliau untuk DAP tidak mungkin dapat ditandingi pihak lain termasuk anak-anak beliau. Adalah mustahil untuk menggantikan Karpal dengan anaknya Ramkarpal. Apakah sumbangan beliau kepada penduduk Gelugor? Mungkin selepas ini pimpinan DAP tidak sama seperti dahulu ketika Karpal masih ada," katanya.


Post a Comment